Sunday, December 24, 2006

Kritikan Menjadi Dendam....

Harus saya akui bahawa saya merupakan orang yang degil ... Dan kerana kedegilan saya itulah, saya menjadi seperti apa yang saya jadi hari ini..

Masih segar di ingatan saya,awal tahun 2006, saya membawa sampel pati haruman untuk ditunjukkan kepada "orang tersayang" pada satu petang. Saya dengan semangatnya menunjukkan pati haruman tersebut kepada beliau. Saya kemudiannya bercerita dengan penuh keyakinan bagaimana kami boleh membuat satu perniagaan dengan pati haruman ini. Sesiapa yang mengenali saya pasti akan tahu bagaimana reaksi saya apabila bercerita dengan penuh semangat. Tetapi apa yang saya dapat? Orang yang paling saya sayang dan orang yang paling dekat dengan saya memberikan kritikan dan memperlekehkan niat saya! Bukan itu sahaja, apabila saya mengatakan yang kita boleh bermula dengan memperkenalkannya kepada keluarganya, jawapan yang diterima sungguh menyedihkan. Beliau berkata "Abang bukan tak mahu jual produk ini, tapi ia kelihatan seperti yang dijual ditepi jalan. Tak kelas sangat! Family abang tak pakai produk macam ni.." Lebih kurang begitulah bunyinya jawapan suami saya. Saya akui bahawa ayat tersebut seperti menikam jantung saya, membuatkan saya rasa sangat sedih. Mungkin ia tidak begitu sedih sekiranya orang lain yang memberitahu saya begitu tetapi ini orang yang saya sayang!! Jauh disudut hati, saya tidak mengharapkan beliau membuat perniagaan ini bersama saya, cukuplah sekadar memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi seperti apa yang sering dilakukannya sebelum ini. Mungkin juga beliau tidak pandai menyusun ayat sehingga mengeluarkan kata kata yang cukup membuatkan saya tidak menegur beliau dari petang sampailah keesokan harinya. Tidak pernah saya rasa kecewa seperti itu tetapi ia bukanlah perasaan kecewa yang menyebabkan saya 'jatuh' tetapi lebih kepada perasaan 'dendam' dan ingin membuktikan kepadanya bahawa beliau akan 'mengunyah' semula apa yang dia katakan kepada saya. Saya berniat di dalam hati untuk menunjukkan kepada beliau yang produk ini akan terkenal satu hari nanti. (Beliau kemudian memujuk saya dengan membeli kek coklat kegemaran saya keesokkan harinya, pandai sungguh beliau mengambil hati saya!) Sambil memeluk saya, beliau meminta maaf kerana mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya dan berjanji akan bersama-sama saya mengembangkan perniagaan ini. Saya terus menangis di bahunya sambil memberitahu beliau bahawa apa yang saya inginkan cuma sokongan. Beliau tidak perlu berbuat apa-apa terhadap perniagaan ini, biar saya uruskan..cuma sokongan yang saya pinta.. Dan saya juga telah membuktikan kepada beliau yang perniagaan ini boleh berjaya. Kerana kedegilan saya ini, produk saya mendapat tempat di hati pelanggan. Kerana kedegilan saya juga, produk saya diedarkan di seluruh Malaysia. Kerana kedegilan saya juga, produk saya menjadi popular tidak sampai setahun saya memperkenalkannya ke dalam pasaran ...After all, sifat degil itu tidaklah teruk sangat kan...?

Jadi, kepada mereka yang selalu putus asa atau selalu merasa lemah apabila diperkecilkan orang lain, ingatlah kisah saya ini. Jadilah orang yang 'degil' dan buktikan kepada orang yang memandang rendah kepada anda bahawa mereka silap! Janganlah anda hanyut bila diperlekehkan. Walaupun orang yang berkata itu teman anda yang paling rapat!. Kerana apabila anda berjaya, anda akan lebih dihormati dan anda akan lebih yakin dengan diri anda. Jika halangan 'minda' ini boleh anda tepis, ini bermakna anda sedang berjalan menuju kejayaan ... Tiada apa lagi yang boleh menghalang anda dari terus melangkah ... ke persada impian!!

Akhir kata dari saya, " Jadikan umpat keji orang sebagai satu semangat untuk anda melangkah lebih jauh ...ke depan ...bukan ke belakang..."

Salam Semangat,
Perfume For All

Bila Semuanya Bermula...

Semuanya bermula apabila saya merasakan yang sudah tiba masanya saya mempunyai satu perniagaan saya sendiri. Sebelum ini, walaupun saya masih bekerja dengan mana mana syarikat, minat berniaga tidak pernah padam dalam diri saya. Masih saya ingat, bagaimana saya bangun pada pukul 7 pagi dan membuka gerai di Flea Market Amcorp Mall.Saya menjual pelbagai produk termasuklah produk untuk kanak kanak. Walaupun untung tidak seberapa, saya merasa puas kerana saya merasakan itulah keputusan yang terbaik untuk menambah pendapatan. Bukan setakat di Amcorp Mall sahaja, saya juga pernah berniaga di Putrajaya & Ampang Point.

Mungkin kerana darah berniaga sudah mengalir dalam diri saya azali lagi. Bapa saya pernah berniaga kain, jual beli emas & mengedarkan minyak angin cap Singa keluaran datuk saya, makcik saya yang sulung pula membuka butik pakaian di Pertama Kompleks dan satu lagi makcik saya pernah membuka kedai jamu, juga di Pertama Kompleks..nampaknya ia telah menurun kepada saya pula ... Datuk jual minyak angin...cucu jual minyak wangi ... satu kebetulan yang sangat menarik kan...! Jangan tak tau ...minyak angin Datuk saya mempunyai peminatnya yang tersendiri ...!! Cuma sayang, ia tidak dieksploitasikan sepenuhnya, maka tidaklah segah minyak angin cap kapak...tapi kualitinya ....hanya siapa yang pernah menggunakannya akan tahu kelebihannya dan takkan bertukar ke minyak angin lain. Jika tidak, tidaklah saya melihat orang sanggup datang dari jauh ke rumah Datuk saya untuk mendapatkannya ...dari kecil hingga saya remaja ...(saya tinggal di sebelah rumah Datuk saya dan kini Datuk saya telah pun berusia 92 tahun! )..Kakak saya pula bersama suaminya telah berjaya membuka sebuah syarikat pelancongan di Bangsar dan mengeluarkan produknya sendiri...Nampaknya saya memang dilahirkan untuk berniaga ...

Janganlah pula anda terus membuat kesimpulan .."Padanlah dia boleh buat...keluarganya semuanya begitu ..." Tidak! Tidak sama sekali...Walaupun salasilah keluarga saya kebanyakannya orang berniaga, tetapi tidak semua adik beradik saya terlibat dalam bidang perniagaan. Semuanya di atas kehendak kita. Kita sudah sering kali di sogokkan dengan kata-kata " 9 daripada 10 punca rezeki adalah dari perniagaan"..Anda juga tahu tentang itu tetapi jika anda tidak mengaplikasikan apa yang dimaksudkan ...tidak ada gunanya ...Anda tidak akan ke mana ..anda hanya melihat seorang demi seorang usahawan baru muncul tetapi anda masih di takuk lama. Kenapa? Anda takut? Apa yang anda takutkan? Takut gagal ...? Seharusnya anda membaca buku yang bertajuk "Berani Gagal" hasil garapan Billi P.S Lim. Anda sebenarnya tidak perlu terlalu takut dengan kegagalan kerana dari situlah anda akan mengutip pengalaman yang berharga. Semua jutawan di dunia pernah gagal malah dalam satu artikel yang pernah saya baca, jutawan-jutawan ini mengatakan "Janganlah anda melihat 1 kejayaan saya, lihatlah 100 kegagalan yang pernah saya lalui". Ayat ini tersemat di hati saya kerana ianya memang sesungguhnya benar. Saya sendiri pernah gagal dalam salah satu perniagaan yang saya ceburi tetapi saya tidak kesal kerana saya belajar melalui pengalaman. Pengalaman yang tidak dapat saya beli dengan wang ringgit. Ingin tahu ceritanya? Tunggu coretan saya akan datang...


Akhir kata dari saya, "Untuk mengetahui sama ada anda benar-benar takut atau tidak, lakukanlah perkara yang anda takutkan itu. Barulah anda tahu sama ada anda betul betul takut atau ia hanya ilusi anda"

Salam usahawan,
Perfume For All

Bermulanya sebuah kisah...


Salam sejahtera pembaca semua,

Terdetik di hati saya untuk membuat satu blog khas tentang perjalanan hidup saya sepanjang menjalankan perniagaan pati perfume ini apabila saya merasakan dengan cara ini saya dapat mendekatkan diri dengan para pelanggan saya. Idea ini terlintas di fikiran saya ketika saya sedang memandu kereta....dan di sinilah saya pada pukul 1 pagi di hari Krismas 2006 mencoretkan sesuatu buat tatapan anda semua...

Walaupun saya mempunyai laman web khas untuk perniagaan ini (www.patiperfume.com), saya merasakan bahawa dengan adanya blog seperti ini, dapatlah saya berkongsi ilmu dan maklumat dengan anda semua..sebagai kawan dan sebagai usahawan ... Minat menulis ini memang sudah lama tertanam di jiwa ini tetapi sering sahaja terhalang disebabkan masalah masa... kini saya rasakan ia bukan lagi satu alasan ... walaupun penulisan saya tidaklah hebat seperti penulis profesional ..tetapi saya rasa ia masih boleh dibanggakan ..( wah....perasanlah pulak ...heheh) ..

Saya berharap dengan adanya blog ini, dapatlah ia merapatkan jurang antara saya dengan pelanggan dan dalam masa yang sama, dapat memberikan inspirasi kepada sesiapa yang berniat menjadi usahawan tetapi masih mempunyai rasa sangsi dan ragu ragu..ikuti kisah hidup saya dan semoga anda semua menjadi kuat dan hebat!!

Akhir kata daripada saya...
"Anda adalah apa yang anda fikir .....Fikir-fikirkanlah ...."

Salam Wangi,
Perfume For All